Friday, January 7, 2011

TarBIYYah UntukkU

BERKORBAN DEMI CINTA-NYA

“ Dinar Emas adalah satu keyakinan pelaburan kepada dunia Islam khasnya. Seperti EURO yang diyakini akan kestabilan nilainya telah berupaya untuk standing dengan nilai dollar. Kesatuan antara semua Negara OIC ternyata akan mempengaruhi nilai pasaran Dinar Emas. Yang penting adalah kesatuan ummah..”

Konferen Persidangan bertajuk “Dinar Emas: Antara Realiti dan Angan-angan”, ternyata panas dan gamat. Sebentar tadi, pembentangan kertas kerja oleh pelajar tahun akhir Kuliyyah Iktisad, UUM. Kalau tidak kerana desakan Prof Dr. Yusuf Hambali pasti dia takkan menjejakkan kakinya ke sini. Masih banyak kerja-kerja penyelidikan yang perlu disudahkan. Beginilah rutin pelajar Phd di UKM. Bertemankan Syahid, dia cuba untuk memenuhi hasrat pensyarah yang menjadi mentor penyelidikannya itu.

Namun, tatkala ini dia tergamam. Suara itu seperti sudah lama dikenali. Namun lewat kebelakangan ini, ia sepi. Kini, dia di hadapan pentas. Menuturkan patah-patah bicara yang bernas. Diadun untuk mencerna minda. Benarkah dia?

Lengkap berseragamkan jubah biru tua, tudung putih berseri dan purdah lambang seorang muslimah yang berhati waja, ternyata gadis itu mampu menarik perhatian khalayak ilmuan itu.

“Diyakini akan keutuhan nilai sebagai antara wang perantaraan yang terbaik pernah digunakan. Perlukah kita menidakkan “keperkasaan” Dinar Emas”.

“ Perlukah kita mengagungkan EURO? Sedangkan di kalangan Negara anggota EU sendiri masih berbelah bahagi dan curiga mencurigai akan nilai yang diwarwarkan sebagai matawang terbaik dunia. OIC selaku badan berlahirkankan “Islam” mampu untuk memainkan peranan penting untuk menyatukan ikatan ummah Islam sedunia. Jika kita bergabung rasanya kita adalah kekuatan yang mampu menggoncang ekonomi dunia. Benarkah bahawa US adalah Negara yang paling stabil kedudukan ekonominya US adalah antara Negara yang menghadapi masalah krisis ekonomi dalaman yang teruk. Malah Nigeria rasanya masih mempunyai rekod status ekonomi yang stabil jika dibandingkan. Tapi, seanterio dunia telah ditipu dengan kata-kata “ US adalah kuasa dunia”. Dengan penyamaran sebagai kuasa dunia, maka US tidak ubah laksana badut di sarkas kehidupan”.

Di saat konferen itu berlangsung dengan pembentang kertas kerja yang lain, dia teruja dengan kenangan silam yang masih berbekas di hatinya. Lambang ketegasan seorang wanita mukmin dalam kelembutan sikapnya. Seorang gadis yang berdiri kukuh dengan perisai kebijaksanaan di hadapan pentas tadi, mengembalikan ingatannya pada sebuah kisah.


“ketika itu semua wanita mukmin akur dan taat dengan suruhannya. Yang menjadi kalut adalah Yahudi laknatullah. Terjadilah dalam kisah pemuda Yahudi mempermainkan hijab wanita mukmin sehingga mencetuskan kemarahan pemuda Islam.” Seketika dia terdiam, mungkin sedang ligat memikirkan buah hujah untuk dibentangkan di hadapanku.

“Hanya betis yang terselak dan ia meningkatkan kemarahan pemuda Islam pada zaman itu. Cuba awak lihat zaman sekarang, bukan setakat betis malah jika seluruh anggota badan wanita mukmin itu terbuka tiada siapa pun yang akan mempersoalkannya. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa orang Islam sendiri yang menyelak pakaian wanita Islam”.

Ternyata pandanganku mengenai “pembaharuan” yang dikenakan oleh tunanganku ini mengundang khutbah panjang lewat pertemuan rembang sesudah asar. Ditemani dengan teman baiknya, aku mengatur pertemuan. Hanya untuk menyampaikan kiriman umiku kepadanya. Nah, inilah balasan yang kuterima. Kedatangannya dengan “purdah” menyebabkan aku kurang selesa. Risau jika dia terlibat dengan sebarang gerakan dakwah songsang. Akhir-akhir ini aku dikhabarkan, tunanganku ini semakin aktif dengan jemaah. Kebimbangan bertamu di hati. Keresahan itu terjawab dengan penampilannya petang itu.

“Bukankah memakai purdah adalah salah satu daripada tuntutan wajib? Ringkasnya, aurat mempunyai 2 pengertian iaitu yang pertama adalah harga diri dan yang kedua aurat tubuh badan. Menutup aurat itu adalah wajib kepada seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Tapi,jika muka dan tapak tangan itu boleh menimbulkan fitnah,maka saya rasakan bahawa jatuh hukum wajib untuk menutup muka dan tapak tangan itu”.

“saya rasa tiada apa yang perlu dibimbangkan. Begitu juga dengan awak. Saya memperjuangkan apa yang penting untuk kehormatan saya sebagai wanita Islam”. Kulihat wajahnya merona menahan panasnya mentari petang. Bagai kelopak mawar di pagi hari,walaupun dilitupi purdah.

“ Siapa awak untuk mempersoalkan tentang saya? Rasanya sebagai tunang, ia belum lagi memberikan apa-apa hak kepada awak untuk mempersoalkan tindakan saya, selagi perbuatan saya ini tidak melanggar syariat. Malah, awak patut memberikan sokongan. Benar, amal saya masih belum sempurna. Masih banyak lagi amalan Islam yang perlu saya bangunkan dalam diri saya ini. Saya tidak mengatakan bahawa dengan pemakaian saya kini adalah selengkapnya dan ia melambangkan bahawa ilmu saya sudah cukup. Ilmu setiap manusia itu takkan cukup hatta saat dia menghembuskan nafsnya yang terakhir. Saya akan berusaha dan berusaha untuk memperbaiki kekurangan dalam diri saya. Malah, tidak keterlaluan saya katakan saya juga mengharapkan awak sentiasa muhasabahkan diri ke arah kebaikan”.

Aku sedikit terkesan dengan bicara tunanganku ini. Rentetan kisah-kisah lewat 80-an tergambar dengan jelas di mindaku ini. Tatkala, isu pemakaian purdah di kalangan siswi kampus begitu mengundang kontroversi. 16 orang siswi yang digantung pengajian di USM pada sesi pengajian 1985/1986. Pekeliling Kementerian pada 29 Mac 1985, disebarkan untuk tindakan NC UKM, UM, UTM, UUM, USM dan Pengarah ITM dan UPM. Ia menyatakan tindakan akan diambil ke atas pelajar yang mengenakan pakaian menutup muka. Aku tidak ingin kejadian seumpama itu terjadi lagi. Terutama buat insan yang aku sayangi. Aku tidak ingin melihat dia terkandas dalam pengajiannya. Ku luahkan jua kerisauanku ini.

“Awak begitu yakin? Ada dalil atau nas yang sahih? Bukankah Islam itu mementingkan kesederhanaan?”, sebagai pelajar Kejuruteraan Mekanikal aku tahu ilmu aku terbatas, tapi yang pastinya aku perlu tegaskan pendirian aku. Dia tersenyum barangkali mendengar kata-kataku.

“Mengapa masyarakat yang dikatakan terbuka pemikirannya kini, memikirkan soal remeh dan meributkan perintah ini. Semasa turunnya perintah Allah mengenai hijab dalam surah al-Ahzab ayat 59,

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan isteri-isteri orang mukmin,’Hendaklah mereka melabuhkan jilbab mereka ke seluruh tubuh badan mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal kerana itu mereka tidak diganggu.”

“kalimah Jilbab mengikut ulamak Tarmizi, adalah tutup kepala dan tutup muka, bermakna kesemua wanita mukmin perlu menutup muka dan kepala mereka. Dalam kitab tafsir Al bahrumuhidh karangan Abu Hayyan, pada juzuk 10 muka surat 280 menghuraikan ayat tersebut, muka adalah anggota yang perlu ditutup. Kitab tafsir karangan Abu Sa’ud juga ada menegaskan perkara yang sama. Awak juga boleh mencari pendapat dan kupasan dalam kitab-kitab Jalaian oleh Ibnu Abbas dan kitab tafsir Ahkam. “

“Pernahkah awak terdengar potongan hadith ini, ‘wahai Ali, kalau kamu sudah terpandang kepada perempuan, jangan teruskan pandangan kamu itu. Terpandang yang kali pertama itu adalah untuk kamu.”
“apa yang saya bimbangkan adalah jika terjadi fitnah ke atas saya. Jangan risau, purdah ini boleh dibuka jika berlaku keadaan darurat. Sesuai dengan kata-kata … dalam keadaan darurat, dia adalah diharuskan kepada perkara-perkara yang diharamkan”.

“Saya tahu muka saya boleh menimbulkan fitnah, sudah lupakah awak tentang kejadian sebulan yang lepas?”.

Masakan aku boleh melupainya. Tidak kunafikan benar kata-katanya, mukanya telah menimbulkan fitnah. Kerana itu aku telah melepaskan penumbuk sulungku kepada seorang pemuda kampung yang cuba untuk melakukan perkara kurang sopan kepada tunanganku ini semasa dia menunggu bas untuk ke Maahad. Masih tergambar jelas.
Perdebatan kami tidak terhenti di situ sahaja. Ternyata aku begitu kurang menyenanginya. Perlukah berpurdah sedangkan untuk menjaga diri dia masih boleh menggunakan jalan lain antaranya belajar ilmu mempertahankan diri. Namun saranan aku tidak berbekas di hatinya. Dua kali pertemuanku di rumahnya bersaksikan keluarganya aku meminta dia mempertimbangkan hal ini. Akhirnya kali kedua, dia telah memberikan keputusan yang langsung tidak pernah aku jangkakan.

“ Awak, saya sanggup berkorban demi cinta. Tapi, cintaNya lebih saya agungkan berbanding cinta awak. Saya sanggup kehilangan cinta awak daripada cintaNya. Rasanya pertunangan ini sampai di sini sahajalah. Saya tidak sanggup kehilangan cinta Allah”, aku terpana. Titik noktah telah diberikan.

Itulah sejarah 5 tahun dahulu. Aku membawa diri ke UK menyambung pelajaran. Di sana barulah aku termangu-mangu kerana melepaskan “mutiara iman” yang paling berharga. Aku belajar tentang ilmu agama daripada ustaz-ustaz di sana. Rupanya banyak yang aku tidak tahu. Tidak kunafikan, semakin aku belajar semakin banyak yang aku tidak tahu. 5 tahun aku menghambakan diri di sana, selepas master aku memohon untuk mengambil Ijazah Kedua tapi dalam bidang yang berlainan. Islamic studies. Alhamdulillah, Allah permudahkan laluanku untuk menutut ilmuNya. Setiap kata-kata bekas tunanganku itu ku terjemahkan melalui ilmu pengajianku. Benar. Ya Allah, akukah yang buta?

Sentuhan Syahid di sebelah mengejutkan dia daripada lamunan yang panjang. Dia meraup mukanya. Majlis telah usai rupanya. Syahid mengajak untuk menemankan dia berjumpa dengan tunangannya. Kad undangan walimah Syahid masih tersimpan kemas di laci. Masih belum terusik.

“Hai, takkan tak sempat nak tunggu seminggu lagi,”
“Ana nak bagi barang la,”
“Naufal, kenalkan ini tunangan ana, Nurul Iman,”

Malam itu, selepas solat insya’ bermunajat lama, berteleku di atas sejadah, memuliakan QalamNya. Melindungi kesedihan hati.

Nurul Iman, itulah gadis yang pernah bertakhta di hatinya. Dan itulah juga gadis yang bakal melangsungkan pernikahan dengan sahabat baiknya, Syahid.

No comments:

Post a Comment